Facebook, WhatsApp, Instagram sekali lagi tergendala


  • Benua
  • Sabtu, 09 Okt 2021

KIRA-KIRA 3.5 bilion para pengguna menggunakan aplikasi di bawah syarikat Facebook. — AFP
APLIKASI Facebook, WhatsApp dan Instagram dilaporkan mengalami masalah sekali lagi pada Jumaat serta berlaku buat kali kedua dalam minggu ini.

Masalah berkenaan berlarutan selama dua jam oleh semua pengguna aplikasi terbabit di seluruh dunia.

Menurut kenyataan Facebook, isu tersebut berjaya dipulihkan dan memaklumkan masalah itu terjadi disebabkan oleh perubahan dalam sistem 'konfigurasi' kesemua aplikasi berkenaan.

"Minta maaf kepada sesiapa yang tidak boleh mengakses produk kami dalam tempoh beberapa jam lepas," katanya.

Tambah Facebook, masalah yang berlaku pada Jumaat tidak berkaitan dengan isu yang terjadi pada awal minggu ini.

Isnin lalu, kesemua aplikasi milik syarikat itu mengalami masalah untuk diakses oleh para pengguna seluruh dunia selama lima jam.

Kejadian pada Isnin lalu menjejaskan kira-kira 3.5 bilion pengguna seluruh dunia.

Para usahawan dan pemilik perniagaan menyatakan mereka gagal untuk melakukan jualan di Instagram atau Facebook, sekali gus menyebabkan kerugian ribuan dolar.

Susulan kejadian pada Isnin lalu, Facebook memaklumkan semua aplikasinya akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya. — Agensi

Facebook, Instagram, WhatsApp, media sosial