Enam kanak-kanak antara korban gempa bumi Pakistan


  • Benua
  • Khamis, 07 Okt 2021

KEBANYAKAN rumah yang rosak dilaporkan berlaku di wilayah Harnai hingga ada keluarga terpaksa bermalam di luar kediaman.

SEKURANG-kurangnya 20 terbunuh dan ramai lagi mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter yang melanda wilayah Balochistan, barat daya Pakistan.

Dikatakan ramai korban dilaporkan berlaku di daerah Harnai dan jumlah itu mungkin bertambah kerana dipercayai ada mangsa yang masih lagi terperangkap di bawah runtuhan.

Darurat turut diisytiharkan di daerah yang terjejas.

"Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan kami menjangkakan kira-kira 100 lagi cedera," kata Menteri Wilayah, Zia Langove.

Langove juga berkata, usaha menyelamat kini dikejarkan ke lokasi kejadian memandangkan gempa yang berlaku turut mengakibatkan kejadian tanah runtuh hingga menghalang jalan.

"Berlaku tanah runtuh dan pasukan bertugas bertungkus-lumus membersihkan jalan di kawasan terbabit.

"Pasukan menyelamat juga akan dapat menilai kerosakan secara lebih tepat selepas mereka memasuki kawasan berkaitan," kata Langove.

Dalam kejadian itu, kebanyakan rumah di wilayah Harnai mengalami kerosakan teruk kerana diperbuat daripada lumpur.

Menurut Pegawai Kanan Kerajaan, Suhail Anwar Hashmi, kebanyakan mangsa yang meninggal dunia disebabkan runtuhan bumbung dan dinding rumah.

Seorang wanita dan enam kanak-kanak antara mangsa yang terkorban. — Agensi

Pakistan, gempa bumi, darurat