5 bilion penduduk dunia terjejas krisis air pada 2050, kata PBB


  • Benua
  • Rabu, 06 Okt 2021

DALAM tempoh 20 tahun lalu, paras air di atas tanah iaitu permukaan, separa permukaan, salji dan ais telah menurun pada kadar satu sentimeter setiap tahun. — AFP

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa lebih lima bilion penduduk dunia berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air menjelang 2050, dan menggesa pemimpin dunia untuk merintis usaha pada Persidangan Perubahan Iklim COP26.

Ketua Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Petteri Taalas berkata, setakat tahun 2018, seramai 3.6 bilion penduduk berdepan masalah itu dalam tempoh sebulan setiap tahun.

"Kita perlu bangkit daripada krisis air yang semakin membimbangkan ini," katanya.

Laporan "'Keadaan Perkhidmatan Iklim 2021: Air" muncul hanya beberapa minggu sebelum COP26 atau Persidangan Perubahan Iklim PBB yang akan diadakan di Glasgow dari 31 Oktober hingga 12 November.

WMO menegaskan bahawa dalam tempoh 20 tahun lalu, paras air di atas tanah iaitu permukaan, separa permukaan, salji dan ais, telah menurun pada kadar satu sentimeter setiap tahun.

Penyusutan terbesar berlaku di Antartika dan Greenland, namun kebanyakan lokasi yang mempunyai altitud rendah dan dipenuhi penduduk turut dilanda masalah sama, kata WMO.

Agensi itu berkata, terdapat masalah utama bagi isu keselamatan air, memandangkan hanya 0.5 peratus daripada air di dunia boleh digunakan dan dalam bentuk semula jadi.

"Peningkatan suhu menyebabkan kadar penyejatan pada peringkat global dan serantau berubah, sekali gus menyaksikan corak hujan dan musim pertanian beralih.

"Maka, ia mencetuskan kesan kepada aspek keselamatan makanan, selain kesihatan dan kebajikan manusia.

"Kita mempunyai tambahan kelembapan sebanyak tujuh peratus di atmosfera disebabkan pemanasan global ketika ini dan ia menyumbang kepada banjir.

"Justeru, negara yang menghadiri COP26 perlu meningkatkan usaha mereka, dengan bukan sekadar giat mengadakan perbincangan tanpa disusuli dengan sebarang tindakan," katanya.

Bimbang dengan keadaan semasa, Taalas berkata usaha menangani perubahan iklim merangkumi segenap aspek tidak boleh dilengahkan sehingga beberapa dekad.

Katanya, mesej sedemikian antara lain ditujukan kepada negara seperti China yang menyatakan komitmen untuk menjadi neutral karbon menjelang 2060, namun tidak mempunyai sebarang perancangan utuh dalam tempoh beberapa dekad akan datang.

"Pengubahsuaian terhadap iklim juga perlu dilakukan kerana pola perubahan cuaca akan terus berlaku, susulan kecairan glasier dan peningkatan paras air laut. — AFP

masalah air, krisis air, PBB, Petteri Taalas,