Singapura bakal mansuh Akta Hasutan


  • Benua
  • Rabu, 06 Okt 2021

MENTERI Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam. — Reuters
SINGAPURA bakal memansuhkan Akta Hasutan yang digubal 83 tahun lalu, satu akta menetapkan kesalahan jenayah bagi perbuatan mempunyai unsur hasutan.

Rang Undang-Undang (Dimansuhkan) Hasutan itu dibentang untuk bacaan pertama di Parlimen pada 13 September dan bacaan kedua pada 5 Oktober bagi memansuhkan akta tersebut.

Selain itu, beberapa pindaan yang berkaitan untuk beberapa akta lain bakal dimasukkan.

Akta berkenaan turut memberi kuasa kepada Mahkamah Singapura untuk memansuhkan penerbitan akhbar yang mengandungi hasutan dan melarang pengedaran penerbitan terbabit.

Pada bacaan pertama RUU itu, Kementerian Dalam Negeri Singapura menerusi kenyataannya, memaklumkan Akta Hasutan digunakan pada masa lepas untuk menangani pelbagai bentuk tingkah laku yang dapat melemahkan struktur sosial negara berkenaan dan merosakkan institusinya.

Sejak bertahun-tahun, kementerian itu memaklumkan undang-undang baharu telah diperkenalkan untuk menangani masalah ini dengan lebih tersusun dan bersasar.

Ini termasuk beberapa akta iaitu Maintenance of Religious Harmony Act, Online Falsehoods and Manipulation Act 2019, Administration of Justice (Protection) Act 2016, the Undesirable Publications Act, Newspaper and Printing Presses Act dan peruntukan khas di bawah Kanun Keseksaan.

"Oleh itu, Akta Hasutan adalah terhad dan boleh dimansuhkan," menurut kenyataan berkenaan.

Sementara itu, dalam bacaan kedua RUU, Menteri Dalam Negeri, K Shanmugam berkata, beberapa aspek penting dalam Akta Hasutan sudah lama tidak relevan dan sesuai.

Sebagai contoh, Shanmugam yang juga Menteri Undang-Undang Singapura menjelaskan, kecenderungan untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan tidak seharusnya dianggap sebagai satu perbuatan jenayah.

Ujar beliau, undang-undang berkaitan hasutan pertama kali diperkenalkan di Singapura melalui Ordinan Hasutan 1938 ketika Singapura di bawah jajahan British.

Akta Hasutan sedia ada, berasal daripada Ordinan Hasutan 1948, diperkenalkan British kepada Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia) pada 1948, antaranya bertujuan menghalang penentangan tempatan terhadap pemerintahan penjajah Inggeris. — Bernama

Singapura, akta, Parlimen, akhbar