Scammer terbesar Korea, akhirnya dicekup di Filipina


  • Benua
  • Rabu, 06 Okt 2021

PARK dituduh melakukan sindiket penipuan di Filipina sejak 2012. — Agensi

POLIS Filipina berjaya menahan ketua satu daripada sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam) terbesar yang menyasarkan rakyat Korea Selatan.

Menurut Polis Korea Selatan, lelaki berusia berusia 50 tahun itu yang hanya dikenali sebagai ‘Park’, ditahan pada Isnin kerana didakwa terbabit dengan kes penipuan bernilai jutaan dolar.

Park, bekas pegawai polis, dituduh melakukan sindiket penipuan di Filipina sejak 2012, empat tahun selepas dipecat kerana didakwa menerima rasuah.

Kumpulan yang diketuai Park itu dianggap satu daripada sindiket paling lama menjalankan jenayah penipuan dengan cara memancing data melalui panggian telefon.

Pada 2013, polis Cheonan, selatan Seoul, menahan 28 suspek yang dipercayai bekerja dengan sindiket itu, namun Park dan berapa pembantu kanannya berjaya melarikan diri ke luar negara. Sejak itu, Park dikatakan bersembunyi di sebuah kawasan di tenggara Manila.

Hasil kerjasama dengan Perkhidmatan Perisikan Nasional polis berjaya menahan rakan subahat Park pada 25 September. Park dipercayai menggunakan dua identiti untuk mengelak daripada ditangkap.

Pihak berkuasa kedua-dua negara sedang mengadakan rundingan untuk proses menghantar balik Park dan rakannya ke Seoul. — Agensi