Kartunis hina Nabi Muhammad maut kemalangan ngeri


  • Benua
  • Isnin, 04 Okt 2021

LARS Vilks maut dalam satu kemalangan ngeri dekat pekan Markaryd di selatan Sweden. — Agensi

KARTUNIS Sweden yang pernah mencetuskan kontroversi dan membangkitkan kemarahan umat Islam kerana melukis gambar Nabi Muhammad SAW, maut dalam kemalangan ngeri jalan raya.

Lars Vilks, 75, terbunuh apabila kereta polis yang dinaikinya terbalik dan terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah trak.

Kedua-dua kenderaan itu terbakar dan pemandu trak berusia 45 tahun dikejarkan ke hospital selepas mengalami cedera parah.

Dua anggota polis yang ditugaskan mengawal Vilks di dalam kereta polis itu turut terkorban.

Kejadian berlaku pada pukul 3 petang semalam (waktu tempatan) di Markaryd, wilayah Kronoberg.

Vilks mencetuskan kemarahan dunia apabila melukis gambar Nabi Muhammad pada 2007.

Sejak itu, dia hidup dalam perlindungan polis selepas sering menerima ugutan ekoran kontroversi kartunnya itu, lebih-lebih lagi apabila militan al-Qaeda menawarkan AS$100,000 (RM417,000) kepada sesiapa yang dapat membunuhnya.

Kartunnya itu juga menyebabkan Perdana Menteri ketika itu Fredrik Reinfeldt terpaksa bertemu dengan duta daripada 22 negara Islam bagi meredakan kemarahan.

Pada 2015 Vilks nyaris terbunuh dalam serangan bersenjata di Copenhagen ketika dia hadir ke perdebatan kebebasan bersuara. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Lars Vilks, kemalangan, Nabi Muhammad