BAKAL Perdana Menteri Jepun baharu, Fumio Kishida mengumumkan barisan anggota eksekutif baharu Parti Demokratik Liberal (LDP) pada Jumaat.
Kishida yang baru sahaja dilantik sebagai Presiden LDP berkata, barisan anggota eksekutif baharu menampilkan Ahli Parlimen muda dan juga veteran.
Antara yang dilantik adalah sekutu bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe termasuk Setiausaha Agung LDP, Akira Amari dan ketua dasar, Sanae Takaichi.
Amari, 72, pernah memegang beberapa jawatan Kabinet dan mengundurkan diri sebagai Menteri Ekonomi dan Fiskal pada Januari 2016 atas tuduhan rasuah melibatkan lebih 14 juta yen (RM526,491).
Menurut parti pembangkang mereka akan mewujudkan satu pasukan khas untuk menyiasat semula tuduhan tersebut.
Menteri Kewangan, Taro Aso pula dilantik sebagai Naib Presiden LDP.
Sementara itu, Takaichi yang berhasrat menjadi Perdana Menteri wanita pertama Jepun namun tewas dalam pemilihan baru-baru ini.
Beliau dilantik menerajui Majlis Penyelidikan Dasar yang bertanggungjawab merangka dan mengendalikan hal berkaitan kempen untuk pilihan raya umum.
Selain itu, Tatsuo Fukuda, 54, pula bakal mengetuai Majlis Umum LDP. Bapanya iaitu Yasuo Fukuda serta datuknya, Takeo Fukuda pernah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Toshiaki Endo, 71, yang merupakan bekas menteri mengendalikan temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo pada tahun ini, dilantik sebagai ketua Jawatankuasa Strategi Pemilihan.
Taro Kono, 58, yang bersaing dalam pemilihan LDP, dilantik sebagai ketua di Ibu Pejabat Perhubungan Awam. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram