Israel diberi tempoh setahun keluar dari wilayah Palestin


  • Benua
  • Ahad, 26 Sep 2021

MAHMOUD ketika berucap semasa UNGA menerusi pautan video dari Tebing Barat pada Sabtu. — AP

PRESIDEN Palestin, Mahmoud Abbas memberi tempoh selama setahun kepada Israel untuk keluar daripada wilayah yang diduduki di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmuqaddis Timur.

Ujar Abbas, beliau tidak akan mengiktiraf Israel berdasarkan sempadan sebelum 1967 sekiranya enggan keluar dari wilayah-wilayah berkenaan.

“Jika persefahaman ini tidak dicapai, mengapa mengekalkan pengiktirafan Israel berdasarkan garis sempadan 1967?” soal Mahmoud.

Kenyataan itu dilontarkan oleh Mahmoud ketika berucap semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menerusi pautan video dari Tebing Barat pada Sabtu.

Mahmoud juga menyeru Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres agar mengadakan sidang kemuncak keamanan antarabangsa dan menyatakan kesudiannya untuk 'bekerja sepanjang tahun' bagi menyelesaikan status akhir Palestin dan Israel berlandaskan resolusi PBB.

Selain itu, Mahmoud turut menyelar Israel kerana menghancurkan cadangan penyelesaian dua negara dengan tindakan menyebabkan rakyat Palestin terpaksa menuntut hak yang sama dalam satu negara terdiri daripada Israel, Tebing Barat dan Gaza.

Jelas beliau, Israel menghancurkan prospek penyelesaian politik berdasarkan solusi dua negara melalui penyelesaian di Tebing Barat yang dijajah semasa perang Asia Barat 1967.

“Sekiranya Israel terus mempertahankan realiti satu negara apartheid seperti yang berlaku hari ini, rakyat Palestin dan seluruh dunia tidak akan bertolak ansur dengan situasi tersebut.

“Penduduk Palestin perlu diberikan hak politik yang sama dalam satu negara. Dalam semua kes, Israel perlu membuat pilihan,” ujarnya.

Dalam pada itu, para pengkritik politik dunia berpandangan perpecahan dalaman di Palestin turut menyumbang kepada kebuntuan dalam proses rundingan damai ditaja oleh Amerika Syarikat (AS), yang akhirnya musnah pada 2014. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Mahmoud Abbas, PBB, Palestin, Israel, UNGA