KAKITANGAN kerajaan di Gaza tidak akan menerima pembayaran gaji apabila mengambil cuti sakit sekiranya mereka enggan menerima suntikan vaksinasi Covid-19.
Menurut Ketua Pejabat Media Hamas, Salama Maruf, langkah tersebut dilakukan bagi memastikan setiap kakitangan mematuhi peraturan vaksinasi.
"Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan berhubung vaksinasi," ujarnya pada Rabu.
Kementerian kesihatan Gaza berkata, mereka menerima 768,000 dos vaksin tetapi hanya 140,000 penduduk sahaja yang lengkap divaksinasi.
Sebanyak 168,000 kes Covid-19 dan 1,375 kematian direkodkan di Gaza setakat ini.
Selain Gaza, peraturan hampir sama turut dilaksanakan di Tebing Barat beberapa minggu lalu.
Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh berkata, hampir kebanyakan jangkitan di Tebing Barat berpunca daripada mereka yang tidak divaksin.
Di Tebing Barat, lebih 234,000 kes Covid-19 dicatatkan dan hampir 2,700 kematian direkodkan.
Namun lebih 596,000 penduduk Tebing Barat sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19. — AFP
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram