PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menandatangani rang undang-undang (RUU) dana jangka pendek selepas mendapat kelulusan Kongres bagi mengelak penutupan kerajaan yang dijangka bermula pada tengah malam Khamis.
Terdahulu, Senat dan Dewan Perwakilan meluluskan RUU tersebut, yang membolehkan kerajaan AS mendapat pembiayaan sehingga 3 Disember.
Kelulusan itu mendapat undian 65-35 di Senat dan undian sebanyak 254-175 di Dewan Perwakilan dengan beberapa ahli Parlimen Republikan menyokong Demokrat.
RUU terbabit antara lain akan menyediakan dana kecemasan untuk membantu rakyat Amerika yang terjejas akibat bencana alam seperti Taufan Ida dan membantu penempatan semula pelarian Afghanistan.
Kelulusan oleh Kongres diputuskan selepas RUU berkenaan dibahaskan selama beberapa hari kerana Demokrat berniat untuk memasukkan penangguhan had hutang namun dibantah Republikan.
Ahli Parlimen Republikan berpendapat Demokrat harus menyelesaikan krisis hutangnya sendiri kerana Kongres dan White House di bawah kawalan mereka.
Sementara itu, Demokrat turut berdepan rintangan daripada Republikan dan ahli parti mereka sendiri dalam usaha untuk meluluskan pakej perbelanjaan bernilai AS$3.5 trilion (RM14.63 trilion). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram