PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengarahkan agar kertas siasatan rahsia berhubung insiden pengganas pada 11 September 2001 dikeluarkan.
Arahan itu dikeluarkan selepas keluarga mangsa tragedi terbabit mendesak Biden agar mengeluarkan kertas siasatan berkenaan.
"Hari ini, saya menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan Jabatan Kehakiman dan agensi berkaitan untuk mengawasi pendedahan dokumen tentang siasatan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berhubung 11 September," kata Biden dalam kenyataan dikeluarkan.
Pendedahan kertas siasatan itu perlu dilakukan dalam tempoh enam bulan akan datang.
Langkah itu dilakukan sempena memperingati insiden berkenaan yang berlaku pada 20 tahun lalu.
Ujar Biden, kesakitan ditanggung oleh mereka yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi tersebut sukar untuk dilupakan.
Keluarga mangsa mendakwa kertas siasatan itu berkemungkinan mengandungi bukti bahawa kerajaan Arab Saudi mempunyai kaitan dengan para pengganas yang terbabit dalam serangan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon.
Bagaimanapun, suruhanjaya rasmi yang dibentuk oleh Kongres AS, memaklumkan tiada bukti bahawa kerajaan Arab Saudi terlibat dalam serangan berkenaan.
Selain itu, tragedi terbabit menyebabkan bekas Presiden AS, George W. Bush memerintahkan serangan ke atas Afghanistan untuk memburu individu yang didakwa menjadi dalang insiden itu iaitu Osama Laden. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram