PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berikrar akan bertindak balas terhadap insiden pengeboman di Kabul, Afghanistan semalam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 103 nyawa.
Pada masa sama, Biden turut menegaskan bahawa operasi membawa keluar rakyatnya dan warga Afganistan tetap diteruskan.
Pegawai hal ehwal awam di markas tentera AS, Bill Urban berkata, jumlah tentera AS yang terkorban dalam serangan tersebut juga meningkat kepada 13 orang, dengan 18 lagi cedera.
"Kami akan bertindak, dengan penuh kekuatan dan ketepatan, mengikut masa dan cara kami,” kata Biden ketika berucap di Rumah Putih selepas serangan bom di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, lapor portal Xinhua.
Letupan di lapangan terbang itu disusuli satu lagi serangan di Hotel Baron berhampiran lokasi kejadian dan butiran mengenai insiden berkenaan sedang disiasat tentera AS.
Memetik laporan The Wall Street Journal, pegawai kanan kesihatan Afghanistan berkata, letupan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 90 orang awam terbunuh.
Kementerian Kesihatan Awam Afghanistan sebelum ini mengesahkan lebih 60 kematian dan 140 kecederaan membabitkan rakyat Afghanistan.
ISIS-K, sebuah gabungan radikal dari Daesh telah mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Biden berkata, beliau telah mengarahkan tentera AS untuk 'menyerang aset, kepemimpinan dan kemudahan ISIS-K' tanpa memperincikannya.
"Pengganas Daesh tidak akan menang. Kami akan menyelamatkan Amerika. Kita akan mengeluarkan sekutu Afghanistan kita. Dan misi kami akan diteruskan,” tambahnya.
Menjawab pertanyaan wartawan, Biden berkata, beliau akan menghantar pasukan tambahan ke Afghanistan jika pihak tentera memerlukannya.
Beliau berkata setakat ini tiada bukti menunjukkan wujudnya pakatan antara Taliban dan Daesh dalam mendalangi serangan itu dan Taliban juga telah mengeluarkan satu kenyataan mengecam serangan tersebut.
Serangan itu berlaku ketika AS berusaha untuk membawa keluar rakyat dan rakan sekutunya dari Afghanistan sejak Taliban menguasai Kabul pada 15 Ogos.
Selepas memasuki Kabul, Taliban berkata, semua tentera AS harus meninggalkan Afghanistan selewat-lewatnya pada 31 Ogos. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram