PERSEKITARAN perniagaan dan kestabilan masyarakat di Hong Kong (HK) dilihat berjaya dipulihkan susulan pelaksanaan Undang-Undang Keselamatan Negara di wilayah pentadbiran khas itu.
Perkara itu dinyatakan dalam Laporan Persekitaran Perniagaan HK yang dilancarkan pada Isnin yang turut menyatakan bahawa perkara itu juga dicapai menerusi kelebihan sistem 'satu negara, dua sistem.'
Menurut laporan itu keadaan ini sekali gus dapat menyediakan suasana lebih baik untuk wilayah itu khususnya pemulihan pasca pandemik.
"Kerajaan pusat pula telah menyempurnakan sistem pemilihan dan menyediakan asas kukuh terhadap kestabilan jangka panjang serta pembangunan HK.
"Perubahan yang sedemikian membolehkan HK mempertahankan persekitaran perniagaan yang selamat dan dinamik, selain mengoptimumkan kelebihan persaingan serta mendorong pembangunan ekonomi secara berterusan," tulis laporan itu.
Tambah laporan itu lagi, statistik yang direkodkan turut memberi indikator bahawa ketenteraman awam turut berjaya dipulihkan.
Hurainya, pada separuh pertama 2021, jumlah kes jenayah menyusut 10 peratus berbanding separuh kedua 2019.
"Ekonomi setempat juga menunjukkan lonjakan sebanyak 7.8 peratus, manakala kadar pengangguran menurun daripada 7.2 peratus kepada 4.7 peratus.
"Di pasaran kewangan pula, memperlihatkan momentum yang baik apabila nilai tawaran awam awal (IPO) pada Julai 2020 hingga Jun 2021 menokok lebih 50 peratus," ujarnya.
Sementara itu, jurucakap Pejabat Hal Ehwal HK dan Macau Dewan Negara China berkata laporan yang dilancarkan kerajaan Hong Kong itu telah mempamerkan prospek cemerlang wilayah terbabit.
"HK sudah berjaya mengatasi pergolakan yang berlaku susulan pandemik Covid-19.
"Ia secara tidak langsung dapat membantu masyarakat antarabangsa mengetahui keadaan sebenar dan memperkukuh keyakinan terhadap wilayah tersebut," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram