Dikecualikan kuarantin Covid-19, ramai kecam Nicole Kidman


  • Hiburan
  • Sabtu, 28 Ogos 2021

PENGECUALIAN yang berikan pihak berkuasa Hong Kong kepada bintang Hollywood, Nicole Kidman daripada menjalani kuarantin, telah mencetuskan kritikan daripada pengamal undang-undang terutamanya apabila bandar itu sedang melaksanakan sekatan bagi pelancong antarabangsa sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Memetik laporan portal ABCNews, Kidman dikatakan tiba di Hong Kong minggu lalu menerusi penerbangan dari Sydney, Australia yang kini berdepan dengan jumlah jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Begitupun, aktres itu dikatakan terkecuali menjalani kuarantin dan akan berada di bandar itu selama dua minggu bagi menjalani penggambaran video siri Amazon Prime berjudul Expats.

Berikutan itu, kerajaan telah mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan bahawa pengecualian tersebut diberikan kerana kunjungan aktres tersebut adalah untuk melaksanakan pekerjaan secara profesional dan ia menyumbang kepada perkembangan ekonomi di Hong Kong.

Namun, kenyataan tersebut telah menerima kritikan daripada pengamal undang-undang, Priscilla Leung yang bertegas supaya perkara itu dilihat dari sudut yang lebih serius.

"Pengecualian ini bukan hanya tentang politik, tapi melibatkan isu keselamatan kesihatan dan ia sama sekali tidak adil.

"Sedangkan atlet yang pulang dari temasya Sukan Olimpik Tokyo juga perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari, inikan pula pelakon filem," katanya.

Dalam kenyataan itu juga memberitahu, pihak berkuasa telah mewajibkan Kidman untuk menyerahkan jadual perjalanannya dan dia juga diarahkan untuk menggunakan kenderaan peribadi bagi mengelakkan sebarang kontak dengan orang awam.

"Dengan pengecualian ini, ia tidak bermakna pelakon tersebut boleh pergi ke mana-mana yang dia mahu," kata Edward Yau yang merupakan Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong.— AGENSI

Covid, Nicole Kidman, kuarantin, Hong Kong