LEBIH dua minggu setelah penduduk haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki, seorang remaja Palestin, Tareq Zubeidi masih menghabiskan masanya di tempat tidur, berikutan terlalu takut untuk meninggalkan rumah.
Remaja berusia 15 tahun itu dihantui oleh pengalaman buruk akibat serangan kejam oleh penduduk haram Yahudi ke atasnya.
“Apabila saya bersendirian, saya mula memikirkan semuanya dan kemudian saya berpeluh serta jantung saya mula berdegup laju,” katanya.
Ketika kejadian, Tareq berkata, dia dan beberapa rakannya menuju puncak bukit untuk berkelah sebelum didatangi penduduk haram Yahudi.
Tareq turut menafikan dia dan rakannya melemparkan ketulan batu ke arah penduduk haram berkenaan.
Sebaliknya, katanya, mereka takut dan berlari menuruni bukit menuju ke kampung Silat Al-Dhahr.
Tareq berkata, beliau mengalami kecederaan di lutut ketika melarikan diri mengakibatkan pergerakannya menjadi perlahan.
“Empat penduduk haram keluar dari kereta dan dua daripadanya berjalan kaki. Malah, salah seorang daripadanya memiliki pistol,” katanya.
Pada masa sama, katanya, penduduk haram memukulnya dengan batang kayu sebelum menutup matanya dan mengikatnya di bahagian hadapan kereta.
“Mereka memandu selama kira-kira lima minit, kemudiannya kembali ke bukit sebelum memberhentikannya secara tiba-tiba dan menyuruh saya turun ke tanah.
"Selepas itu, mereka mula memukul saya, meludah dan menyumpah seranah saya," katanya.
Tambahnya lagi, penduduk haram terbabit turut mengikatnya ke sebatang pokok dan memukulnya dengan tali pinggang.
Selain itu, katanya, mereka turut mengelar kakinya dengan pisau sebelum membakar telapak kakinya dengan pemetik api.
Kepalanya seterusnya dipukul dengan sebatang kayu sebelum dia tidak sedarkan diri.
Meskipun tiada saksi yang boleh menguatkan kisah Zubeidi, kejadian 17 Ogos lalu berlaku di kawasan yang sering menyaksikan keganasan antara penduduk haram Yahudi dan penduduk Palestin.
B’Tselem, sebuah kumpulan hak asasi manusia Israel yang memantau keganasan penduduk haram Yahudi berkata, ia tidak dapat mengesahkan kisah Tareq, namun jelas bahawa remaja itu didera secara fizikal dan mental.
Kumpulan itu mendokumentasikan sekurang-kurangnya tujuh serangan penduduk haram Yahudi ke atas penduduk Palestin dan harta benda mereka di sekitar kawasan kampung didiami Tareq dalam dua tahun terakhir.
Ia berkata, rejim pengganas Israel sering campur tangan dan memihak kepada penduduk haram Yahudi yang melakukan keganasan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram