'Masa untuk Mahmoud Abbas letak jawatan'


  • Benua
  • Isnin, 20 Sep 2021

SALAH seorang aktivis Palestin mengangkat plakad dalam bahasa Arab yang bermaksud 'lepaskan' bagi menggesa Abbas meletak jawatan pada Julai lalu. —Getty Image

AKTIVIS Palestin pada Ahad melancarkan kempen dan petisyen yang menggesa Presiden Mahmoud Abbas untuk meletakkan jawatan setelah 15 tahun menerajui negara itu.

Penulis dan aktivis Palestin Mohammad Shoukry berkata, perkara itu adalah sebahagian daripada hak yang termaktub kepada rakyat Palestin.

“Abbas sendiri yang memberi hak ini kepada kami ketika bercakap dalam sebuah rancangan TV, yang mana beliau berkata, sekiranya ada sepuluh orang turun ke jalan yang memintanya untuk letak jawatan, beliau akan berbuat demikian, “ katanya.

“Dalam beberapa bulan terakhir, kita semua telah melihat ratusan orang turun ke jalan di Ramallah dan menggesanya untuk mengundurkan diri setelah terbabit dalam pembunuhan aktivis Nizar Banat,” katanya.

Tambahnya, Abbas turut merampas hak rakyat Palestin, termasuk hak untuk melaksanakan pilihan raya, berikutan beliau menangguhkan perkara itu lebih dari sekali.

Katanya, hal ini kerana beliau hanya ingin mengadakan pilihan raya mengikut syarat-syarat yang ditetapkannya.

Aktivis itu menekankan, bahawa rakyat Palestin berhak memilih pemimpin mereka.

“Rakyat Palestin berhak memiliki Presiden yang mewakili pilihan mereka dan mempercayai hak mereka atas semua tanah Palestin, termasuk Baitulmaqdis.

Sepatutnya, jawatan Abbas sebagai Presiden berakhir pada 9 Januari 2009, namun beliau tidak menyerahkan jawatan itu kepada Speaker Parlimen, seperti yang ditentukan oleh undang-undang Palestin.

Difahamkan, beliau telah menggunakan pelbagai dalih bagi mengelakkan pelaksanaan pemilihan Presiden atau Parlimen.

Terdahulu, Abbas pada April lalu membatalkan pilihan raya negara itu, yang sepatutnya berlangsung pada 22 Mei lepas atas alasan negara penjajah Israel melarang penduduk Baitulmaqdis mengundi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Mahmoud Abbas, Palestin, aktivis