Israel bedil Gaza


  • Benua
  • Selasa, 07 Sep 2021

LETUPAN yang dirakam berikutan serangan udara Israel ke Khan Yunis - AFP

ISRAEL melancarkan serangan udara ke salah satu lokasi yang dikatakan markas tentera Hamas di Semenanjung Gaza.

Menurut tentera Israel, serangan berkenaan dilancarkan selepas ‘bom belon’ dihantar ke wilayah negara itu.

Jet pejuang rejim Zionis menyerang sebuah bengkel membuat roket di Khan Yunis, bandar di selatan Gaza.

Tentera Israel mendakwa markas yang menempatkan kilang simen itu digunakan untuk membina terowong bagi kegunaan pengganas dan ia sengaja dibina di kawasan awam berhampiran masjid serta tempat rawatan air.

Bagaimanapun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan susulan serangan itu.

Semalam, ratusan penyokong jihad berkumpul di Gaza dan kumpulan militan menghantar ‘belon’ ke kawasan sempadan sebagai sokongan kepada enam tahanan yang melepaskan diri daripada penjara di Israel.

Ia menjadi kejadian lolos yang terbesar dalam tempoh sedekad dan pihak berkuasa Israel untuk melancarkan pemburuan besar-besaran di utara negara itu dan Tebing Barat.

Insiden itu juga sebagai sesuatu yang memalukan menjelang Tahun Baharu masyarakat Yahudi.

Warga Palestin menyifatkan tahanan yang berjaya lolos itu sebagai hero dan ramai diantara penduduk palestin meraikannya di media sosial.

Kejayaan tahanan Palestin itu melepaskan diri turut mendapat pujian daripada Presiden parti Fatah, Mahmoud Abbas yang memerintah Tebing Barat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

palestin, israel, gaza