Gorila di Zoo AS positif Covid-19


  • Benua
  • Isnin, 13 Sep 2021

GORILA yang berisiko mengalami komplikasi sedang dirawat dengan antibodi monoklonal. — AFP

BEBERAPA ekor gorila di Zoo Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat (AS) disahkan dijangkiti virus Covid-19 selepas penjaga zoo melihat mereka mengalami batuk dan gejala lain.

Ujian awal menunjukkan kesemua gorila terbabit positif virus Sars-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19 dan pihak zoo dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan ujian pengesahan dari Makmal Perkhidmatan Veterinar Nasional di Ames, Iowa.

Gorila yang berisiko mengalami komplikasi sedang dirawat dengan antibodi monoklonal dan kesemua 20 gorila di zoo berkenaan sedang diuji.

"Pasukan ini mengawasi gorila yang terjejas dengan teliti dan berharap mereka akan pulih sepenuhnya. Mereka sedang mendapatkan rawatan yang terbaik.

"Kami amat prihatin berikutan jangkitan ini berlaku, terutamanya kerana protokol keselamatan kami ketika bekerja dengan kera besar dan spesies haiwan rentan lain sepanjang pandemik ini sangat ketat," kata Sam Rivera, pengarah kanan kesihatan haiwan di Zoo Atlanta.

Pihak zoo percaya gorila terbabit dijangkiti oleh penjaga yang tidak sedar dirinya dijangkiti Covid-19, walaupun pekerja itu telah divaksinasi sepenuhnya dan memakai alat pelindung diri.

"Walaupun manusia diketahui dapat menyebarkan virus kepada haiwan seperti gorila, dan kes-kes ini telah terjadi di zoo lain, ketika ini tidak ada data yang menunjukkan bahawa haiwan zoo dapat menyebarkan virus berkenaan kepada manusia," kata zoo itu.

Bagaimanapun, ia menyatakan bahawa pengunjung tidak menimbulkan ancaman kerana jarak antara mereka dan habitat binatang.

Atlanta Journal-Constitution melaporkan sebanyak 13 ekor gorila zoo dijangkiti, termasuk Ozzie yang berusia 60 tahun, gorila jantan tertua dalam kurungan.

Rivera memberitahu akhbar itu bahawa Ozzie menunjukkan gejala ringan.

"Kami tidak fikir kami tidak mampu berbuat apa-apa.

"Kami memantaunya setiap hari," tambahnya.

Menurut Zoo Atlanta, mereka telah diberi kuasa untuk menggunakan vaksin Zoetis Covid, yang dibangunkan untuk haiwan, dan akan menyuntik gorila terbabit apabila mereka pulih.

Selain itu, mereka juga akan memvaksinasi orang utan, harimau Sumatera, singa Afrika dan harimau bintang.

Covid-19 juga diketahui boleh menjangkiti kucing dan anjing peliharaan. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

gorila, covid-19, zoo atlanta