BIRO Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) mendedahkan sejumlah dokumen berkaitan penyiasatan mereka berhubung insiden serangan 11 September 2001 atau dikenali sebagai 9/11.
Dokumen tersebut mendakwa kerajaan Arab Saudi mempunyai kaitan dengan pengganas yang melakukan serangan terbabit.
Menurut dokumen berkenaan, Arab Saudi didakwa menyediakan sokongan logistik kepada sekurang-kurangnya dua orang dalang serangan itu di Los Angeles.
Selain itu, dokumen itu mendedahkan kecurigaan FBI terhadap Omar al-Bayoumi, seorang pelajar yang disyaki adalah ejen perisikan Arab Saudi di Los Angeles.
Dia didakwa terlibat dalam menyediakan bantuan perjalanan, tempat tinggal dan dana kepada dua orang pengganas tersebut.
Bagaimanapun, Kedutaan Arab Saudi di Washington menolak dakwaan terbabit dan menyifatkan segala tuduhan itu adalah satu kesilapan.
"Tiada bukti yang menunjukkan kerajaan atau pegawai Arab Saudi memiliki maklumat tentang serangan pengganas atau terlibat dalam apa cara sekali pun," kata kenyataan dikeluarkan oleh kedutaan itu.
Seramai 15 daripada 19 orang dalang serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu adalah warga Arab Saudi.
Namun tiada bukti yang menunjukkan Arab Saudi memberikan sokongan dana terhadap kumpulan al-Qaeda tetapi penglibatan segelintir individu di Riyadh masih menimbulkan tanda tanya.
Arab Saudi juga menerima tuntutan saman berjumlah bilion dolar Amerika daripada keluarga mangsa yang terkorban atau cedera dalam tragedi terbabit.
Insiden menyayat hati itu meragut kira-kira 2,996 mangsa.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram