Afghanistan terdedah ancaman kewujudan semula Al-Qaeda


  • Benua
  • Khamis, 09 Sep 2021

LLOYD Austin merasakan Al-Qaeda boleh kembali wujud dan menjadikan Afghanistan sebagai markas - AP

KUMPULAN pengganas, Al-Qaeda mungkin akan kembali aktif dan menjadikan Afghanistan sebagai pangkalan selepas pengunduran tentera dari negara itu, kata Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd Austin.

Penguasaan semula Taliban di Afghanistan juga menjadi antara faktor kepada kemungkinan kemunculan semula kumpulan berkenaan.

Dalam masa sama, Austin menegaskan pihaknya sedang bersiap sedia untuk mencegah kemunculan semula Al-Qaeda di Afghanistan yang mungkin akan mengancam Amerika Syarikat.

“Seluruh komuniti melihat apa yang berlaku dan adakah Al-Qaeda mempunyai kemampuan untuk wujud semula di Afghanistan.

“Sifat mereka adalah sentiasa mencuba mencari ruang untuk kembali, sama ada di sana, di Somalia atau pun di tempat lain. Saya rasa itulah sifat organisasi berkenaan,” katanya.

Taliban memberikan perlindungan kepada Al-Qaeda ketika pemerintahannya pada 1996 hingga 2001.

Amerika Syarikat menyerang dan menggulingkan pemerintahan Taliban selepas enggan menyerahkan pemimpin mereka berikutan serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat.

Sepanjang 20 tahun, Al-Qaeda makin lemah tetapi timbul persoalan mengenai kemungkinan masa depan pertubuhan itu terutamanya selepas Taliban kembali menguasai Kabul.

“Kami beri amaran kepada Taliban yang kami mengharapkan ia tidak lagi berlaku,” kata Austin merujuk kepada kemungkinan Afghanistan menjadi markas kepada Al-Qaeda. - AP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

al-qaeda, taliban, AS, kabul,