Universiti Afganistan lengang, pelajar lelaki dan wanita diasingkan


  • Benua
  • Rabu, 08 Sep 2021

PELAJAR wanita dan lelaki di universiti di Kabul diasingkan di bawah rejim baharu Taliban — Reuters

JUMLAH kehadiran pelajar pada hari pertama pembukaan sesi pembelajaran di universiti di Kabul, Afghanistan hampir kosong akibat peraturan baharu yang lebih ketat yang ditetapkan Taliban pada Selasa.

Berbeza dengan pentadbiran terdahulu, Taliban kali ini menjanjikan pentadbiran lebih sederhana yang mana mereka membenarkan wanita menghadiri universiti swasta namun, perlu memenuhi peraturan ketat berkaitan cara berpakaian.

Untuk menghadiri kelas, wanita hanya dibenarkan mengenakan abaya dan niqab selain perlu diasingkan daripada lelaki.

Bagaimanapun, Pengarah Universiti Gharjistan di Kabul, Noor Ali Rahmani berkata, pelajarnya tidak dapat menerima peraturan baharu itu dan mereka perlu menutup universiti.

"Pelajar kami bertudung, bukannya niqab. Kami tidak menerimanya kerana ia sukar dilaksanakan selain ia bukan Islam sebenar dan bukan berpandukan al-Quran," katanya.

Bermula sekarang, tidak kira universiti dan kolej swasta yang mana semakin bercambah sejak berakhirnya era pertama rejim Taliban, pelajar wanita hanya boleh diajar tenaga pengajar wanita atau lelaki tua dan perlu menggunakan laluan wanita saja.

Mereka juga perlu mengakhiri sesi pembelajaran lima minit lebih awal berbanding pelajar lelaki bagi mengelakkan percampuran antara lelaki dan wanita.

Rahmani berkata, hanya 10 hingga 20 peratus daripada 1,000 pelajar yang mendaftar tahun lalu datang ke universiti semalam, walaupun tiada kelas dijadualkan.

Katanya, sehingga 30 peratus pelajar sudah meninggalkan Afghanistan selepas Taliban menguasai Afghanistan pertengahan Ogos lalu.

Bagaimanapun, bagi segelintir pelajar, mereka lega kerana wanita masih berpeluang belajar di universiti menerusi rejim baharu Taliban. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kabul, Afganistan, Taliban, Noor Ali Rahmani,