PADA usia 12 tahun, sepatutnya Omar Hassan Abu al-Nile sedang menatap buku pelajaran atau bermain bersama rakan sebayanya.
Tetapi kerana kekejaman Israel menceroboh dan menjajah tanah Palestin di Gaza, Omar terpaksa bangkit menentang rejim Zionis walaupun usianya yang masih muda.
Akibatnya, Omar meninggal dunia akibat kecederaan ditembak tentera rejim pada minggu lalu dalam pertempuran di sempadan Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza yang mengesahkan perkara itu berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya.
Omar ditembak ketika pertempuran Sabtu lalu dalam demonstrasi berhampiran pagar sempadan yang memisahkan Gaza dan negeri Yahudi.
Pertempuran itu menyaksikan seorang lelaki Palestin berusia 32 tahun maut manakala 40 lagi cedera.
Di pihak rejim, seorang pegawai polis Israel turut terkena tembakan dan kini berada dalam keadaan kritikal.
Menurut tentera Israel, mereka bertindak balas dengan peserta rusuhan Palestin yang melemparkan bahan letupan di pagar sempadan selain cubaan untuk memanjatnya.
Susulan itu, pihak Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan lokasi pembuatan dan penyimpanan senjata milik Hamas.
Israel sekali lagi dilaporkan menyerang Gaza pada tengah malam Isnin sebagai tindak balas terhadap serangan bom api yang mengakibatkan kebakaran di wilayah selatan Israel, Eskhol.
Namun, tiada korban jiwa yang dilaporkan akibat serangan berkenaan.
Pertempuran terbaharu turut berlaku di sempadan Gaza dan Israel pada Rabu lalu, namun ia dilaporkan tidak seganas insiden Sabtu lalu.
Menurut pihak berkuasa Hamas sekurang-kurangnya 260 penduduk Palestin terbunuh oleh serangan udara Israel semasa konflik, termasuk para pejuang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram