Mahasiswi Afghanistan wajib pakai jubah dan niqab


  • Benua
  • Isnin, 06 Sep 2021

WANITA Afghanistan menuntut hak mereka di Kabul pada Jumaat lalu. — Reuters

TALIBAN mewajibkan pemakaian niqab dan jubah bagi wanita yang mahu melanjutkan pengajian ke universiti swasta di negara itu.

Arahan itu dikeluarkan oleh pihak berkuasa pendidikan Taliban pada Ahad.

Selain itu, pelajar perempuan juga hanya diajar oleh pensyarah wanita.

Sekiranya tiada pensyarah wanita, lelaki berusia dengan perwatakan yang baik boleh dipertimbangkan sebagai pengganti.

Malahan, pelajar lelaki dan perempuan turut diasingkan dalam kelas berbeza atau sekurang-kurangnya dipisahkan dengan tirai.

Arahan baharu itu dikeluarkan ketika universiti swasta dijangka dibuka semula pada Isnin semenjak pengunduran penuh tentera Amerika Syarikat (AS) dari negara berkenaan pada 31 Ogos lalu.

Peraturan sama terpakai untuk kolej swasta dan universiti yang banyak ditubuhkan sejak pentadbiran Taliban berakhir sebelum ini pada 2001 susulan serangan tentera Amerika Syarikat.

Sepanjang tempoh terbabit, gadis dan wanita sukar mendapatkan pendidikan berikutan peraturan kelas perlu dipisahkan antara wanita dan lelaki selain perempuan harus ditemani saudara lelaki setiap kali keluar rumah.

Taliban menguasai semua pentadbiran dengan menumbangkan bekas Presiden, Ashraf Ghani selepas menawan Kabul pada 15 Ogos lalu.

Pelbagai pihak turut skeptikal jika Taliban ketika ini masih kekal dengan ideologi sana termasuk tidak menghormati hak asasi wanita. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram