Tentera AS akan kembali ke Afghanistan


  • Benua
  • Selasa, 07 Sep 2021

GRAHAM percaya Afghanistan akan menjadi hotspot aktiviti Islam radikal. — Agensi

SENATOR Parti Republikan, Lindsay Graham menegaskan tentera Amerika Syarikat (AS) akan kembali ke Afghanistan meskipun telah berundur secara total dari negara itu pada 30 Ogos.

Menurut beliau, AS tidak mempunyai pilihan lain dan perlu kembali ke negara itu bagi mengekang ancaman keganasan yang dakwanya akan menjadi sangat sukar untuk dikekang.

Dakwanya, jika mereka tidak kembali, Afghanistan akan menjadi hotspot untuk kegiatan Islam radikal serta menjadi tempat perlindungan pengganas al-Qaeda.

"Kami akan kembali ke Afghanistan sama seperti di Iraq dan Syria," katanya.

Sementara itu, Graham turut memberikan cadangan untuk merampas kembali Afghanistan daripada jajahan Taliban.

Katanya, Taliban boleh ditumbangkan jika mereka berjaya dalam pertempuran di lembah Panjshir.

Graham juga mengatakan bahawa Taliban tidak akan boleh memerintah Afghanistan kerana dakwanya rakyat di sana membenci pasukan militan itu.

"Seluruh negara itu akan porak-peranda jika di bawah pimpinan Taliban.

"Selepas ini akan ada banyak kekecohan yang berlaku, Daesh akan berkembang malah, mereka juga akan merancang serangan lebih besar terhadap negara Barat," dakwanya.

Tambahnya lagi, jika perkara ini dibiarkan tidak mustahil kejadian 9/11 akan berulang kembali.

Terdahulu, Graham meminta agar Presiden AS, Joe Biden dipecat dari jawatannya kerana tidak berpuas hati atas keputusan pengunduran negara itu dari Afghanistan.

Dalam pada itu, AS kembali ke Iraq dengan menempatkan seramai 5,000 tentera di sana pada Selasa.

AS kembali ke negara itu susulan pertemuan antara Presidennya, Joe Biden dan Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhimi bagi membincangkan beberapa perkara termasuk perihal ancaman Daesh pada Julai.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Amerika Syarikat, Afghanistan, Graham