PENUNJUK perasaan di Thailand kembali mendesak Perdana Menterinya, Prayuth Chan-ocha supaya meletakkan jawatan kerana gagal membendung penularan Covid-19.
Ia merupakan lanjutan daripada demonstrasi yang dilakukan pada Ogos lalu.
Kumpulan tunjuk perasaan yang diketuai oleh Nattawut Saikuar itu kali ini melakukan bantahan terhadap Perdana Menteri di persimpangan utama Asoke, Bangkok.
Katanya pada Ahad lalu, demonstrasi kali ini akan berlarutan untuk beberapa hari.
Seperti demonstrasi sebelum ini, protes di Asoke juga dilakukan dengan penunjuk perasaan berkumpul dengan kereta masing-masing.
Ia bertujuan untuk menjaga penjarakan sosial dan mencegah penularan Covid-19.
Dalam protes yang berlaku di Asoke, penunjuk perasaan dikatakan membunyikan hon kenderaan mereka untuk menyokong tunjuk perasaan itu.
Salah seorang penganjur tunjuk perasaan, Sombat Boonngam-anong, berkata, Asoke akan menjadi pangkalan protes damai sehingga perdana menteri mengundurkan diri.
"Sekiranya Prayuth tidak mengundurkan diri, pusat kekal akan didirikan di persimpangan ini hingga permintaan kami dipenuhi," katanya.
Tunjuk perasaan yang masih berlangsung pada Rabu turut diadakan dengan pemantauan polis dan tiada insiden keganasan berlaku setakat ini.
Ia bagi memastikan demonstrasi yang dilakukan tidak mengganggu kawasan simbolik Thailand.
Laluan khas juga akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada kenderaan kecemasan.
Prayuth adalah seorang komander tentera yang berjaya merebut (rampasan) kuasa pentadbiran Thailand pada tahun 2014.
Beliau mengekalkan kuasa selepas memenangi pilihan raya kontroversial pada tahun 2019, dengan pemerhati hak asasi manusia menggelarkan sistem pilihan raya itu tidak adil.
Baru-baru ini, rasa tidak puas hati masyarakat terhadap perdana menteri Thailand semakin meledak susulan dakwaan pentadbirannya tidak kompeten dalam menangani pandemik Covid-19. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram