PM Thailand nafi ada rombakan Kabinet


  • Benua
  • Khamis, 02 Sep 2021

PRAYUTH (kanan) mengulas tentang dakwaan kemungkinan berlakunya perbahasan undi tidak percaya di Parlimen. — AP

TIADA rombakan kabinet atau pembubaran Dewan Perwakilan akan dilakukan walaupun desas-desus mengatakan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berdepan desakan untuk berbuat demikian.

Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana dalam satu kenyataan berkata berita dan maklumat berkaitan perkara itu sama sekali tidak berasas,

"Rakyat diminta untuk menaruh kepercayaan kepada kerajaan untuk cuba ketuai rakyat keluar daripada krisis Covid-19," katanya.

Sementara itu, Prayuth turut menafikan beliau menerima desakan oleh kumpulan anggota Parlimen tertentu untuk merombak Kabinetnya dan membubarkan Dewan Perwakilan.

Prayuth yang berdepan perbahasan undi tidak percaya di Parlimen mula mengambil alih tampuk kekuasan dalam kudeta tentera pada 2014.

Kemudiannya Prayuth dilantik sebagai perdana menteri selepas pilihan raya 2019 mengatakan beliau akan terus berkhidmat hingga penggal empat tahunnya tamat pada 2023.

"Tidak akan ada pembubaran Dewan. Kami bekerja keras untuk menangani isu-isu penting. Tidak ada sebab mengapa saya harus membubarkan Dewan.

"Ia tidak terlintas dalam fikiran saya. Siapa pun yang membincangkannya harus berhati-hati, jika tujuan mereka untuk menimbulkan kekacauan semasa perbahasan atau apapun," katanya.

Sebelum ini, parti pembangkang Thailand memulakan perbahasan undi tidak percaya terhadap perdana menteri dan lima menteri kabinet dengan alasan kerajaan lemah dalam menangani penularan Covid-19.

Antara menteri yang menjadi sasaran adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul, Menteri Pengangkutan Saksayam Chidchob, Menteri Pertanian Chalermchai Sri-on, Menteri Sumber Manusia Suchart Chomklin dan Menteri Ekonomi dan Masyarakat Digital Chaiwat Thanakamanusorn.

Ini perbahasan usul tidak percaya ketiga terhadap kerajaan Prayuth sejak dipilih pada Julai 2019. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram