SEBANYAK 16 juta data peribadi pesakit di Thailand dicuri daripada pangkalan data Kementerian Kesihatan Awam dan dipercayai dijual di laman web Raidforums.com.
Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul yang mengesahkan perkara itu berkata pihaknya akan ambil tindakan undang-undang sewajarnya kerana ia menjejaskan imej kementerian.
"Mendedahkan sebarang maklumat sulit adalah jenayah dan melanggar Akta Jenayah Komputer dan Seksyen 7 Akta Kesihatan Nasional," katanya.
Kes kecurian data itu melibatkan alamat pesakit, kad pengenalan, nombor telefon bimbit, tarikh lahir, nama hospital, maklumat doktor dan kata laluan sistem hospital.
Raidforums.com sebelum ini berjaya menggodam banyak laman sesawang e-dagang.
Sementara itu, Thailand merancang membuka kembali lebih banyak destinasi pelancongan popularnya mulai bulan depan bagi merancakkan kembali industri yang terjejas ekoran wabak Covid-19 itu.
Langkah itu diambil selepas keberkesanan inisiatif 'Phuket Sandbox' dan 'Samui Plus'.
Timbalan jurucakap Kementerian Luar, Natapanu Nopakun, berkata ibu kota Bangkok dan empat wilayah lain iaitu Chonburi, Phetchaburi, Prachuap Khiri Khan dan Chiang Mai akan dibuka semula kepada pelancong yang diberi vaksin mulai 1 Oktober.
"Ia diikuti 21 lagi wilayah pada pertengahan Oktober, dengan butiran lanjut akan diumumkan bila tiba waktunya," katanya ketika taklimat harian COVID-19 di sini.
Phuket sudah menerima 26,400 pengunjung sepanjang dua bulan pertama sejak pelancaran 'Phuket Sandbox' pada 1 Julai hingga 31 Ogos, menghasilkan pendapatan 1.63 billon baht (RM207 juta).
Menerusi 'Samui Plus' yang bermula 15 Julai lalu, pelancong dibenar mengunjungi Koh Samui, Koh Pha-ngan dan Koh Tao.
Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) memaklumkan program itu sudah menerima 918 pengunjung, dengan 6,329 penginapan, menghasilkan 37.6 juta baht (RM4.7 juta) pendapatan hingga 31 Ogos lalu.
TAT dalam kenyataannya memaklumkan, kebanyakan ketibaan pelancong adalah dari negara eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Pada 16 Jun lalu, Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha mengumumkan Thailand dibuka kembali untuk pengunjung yang diberi vaksin sepenuhnya pada pertengahan Oktober.
Namun rancangan itu ditangguhkan berikutan lonjakan kes Covid-19 selain kadar vaksinasi masih rendah.
Sehingga kini, Thailand sudah memberikan 35.91 juta dos vaksin termasuk 25.23 juta untuk dos pertama. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram