Taliban siar lantikan Kabinet baharu secara langsung


  • Benua
  • Isnin, 06 Sep 2021

TALIBAN belum memaklumkan secara rasmi saluran televisyen yang akan menyiarkan majlis Kabinet baharu minggu ini. — Agensi

TALIBAN akan mengundang beberapa negara besar untuk menyaksikan pengumuman barisan Kabinet yang bakal menerajui tampuk pemerintahan Afghanistan.

Antara negara yang mendapat undangan adalah Turki, China, Rusia, Iran, Pakistan dan Qatar.

Menurut wakil Taliban yang tidak didedahkan namanya itu, pihaknya telah menghantar undangan khas kepada negara-negara yang terlibat untuk menyaksikan majlis berkenaan.

"Ini adalah sejarah baharu untuk Afghanistan dan kita yakin bahawa kerajaan yang dibentuk ini akan diterima oleh masyarakat global dan rakyat negara ini.

"Kita telah selesai berbincang dengan saluran televisyen (tidak dinyatakan namanya) yang akan menyiarkan majlis pelantikan Kabinet baharu Afghanistan," ujar wakil itu.

Pengumuman itu dijangka akan dilakukan dalam minggu ini, namun pihak Taliban belum memaklumkan secara rasmi saluran televisyen yang akan menyiarkan majlis itu.

Terdahulu, Taliban melancarkan serangan terhadap pemerintah Afghanistan selepas Amerika Syarikat mengumumkan untuk mengakhiri operasi di dari negara berkenaan.

Pada 15 Ogos, militan Taliban menyerbu Kabul dan menguasai sepenuhnya ibu kota negara itu dalam beberapa jam.

Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani membuat kenyataan beliau telah mengundurkan diri untuk mencegah pertumpahan darah sebelum melarikan diri dari negara itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

taliban, Amerika Syarikat, Afghanistan