JUNTA tentera Myanmar pada Isnin membebaskan sami Buddha anti Islam yang sebelum ini dipenjarakan kerajaan Aung San Suu Kyi atas tuduhan menghasut.
Ashin Wirathu, yang pernah digelar sebagai 'Buddhist Bin Laden' oleh majalah Time kerana tindakannya menghasut kebencian agama di Myanmar, dibebaskan selepas semua tuduhan terhadapnya digugurkan, kata satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, dia sedang menerima rawatan di sebuah hospital tentera, namun tidak menjelaskan kenapa dia dimasukkan ke hospital.
Sami berusia 53 tahun itu sememangnya terkenal dengan retorik nasionalis anti Islamnya, terutama terhadap etnik Islam Rohingya.
Pada tahun 2017, pihak berkuasa tertinggi Buddha di Myanmar mengharamkan Wirathu daripada memberi ceramah selama setahun kerana ucapan berbaur menghasut.
Selepas larangan berkenaan tamat, mubaligh protentera itu kembali berucap di acara demonstrasi nasionalis, di mana dia menuduh kerajaan Suu Kyi terbabit dalam rasuah dan mengkritik kegagalannya meminda Perlembagaan mengikut kehendak junta tentera.
Dia juga menghadapi tuduhan atas cubaan menyemarakkan "kebencian atau penghinaan" dan "meluahkan kemarahan" terhadap Suu Kyi.
Myanmar dilanda kemelut sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari lalu, yang menyaksikan tindakan ketenteraan terhadap penunjuk perasaan menyebabkan lebih 1,000 orang terkorban, menurut kumpulan pemerhati tempatan.
Junta Myanmar, yang memanggil diri mereka sebagai Majlis Pentadbiran Negara, bulan lalu membatalkan keputusan pilihan raya umum November lalu, di mana parti Liga Nasional Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar.
Dalang rampasan kuasa, Min Aung Hlaing, mendakwa rampasan kuasa dibuat selepas mendapati berlaku penipuan besar-besaran ketika undian dilakukan.
Suu Kyi menghadap beberapa pertuduhan termasuk melanggar perintah larangan Covid-19 dan mengimport serta memiliki 'walkie talkie' secara haram, yang boleh menyebabkannya dipenjara lebih 10 tahun. — AFP
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram