Tiada pemimpin wanita dalam kerajaan baharu Afghanistan


  • Benua
  • Sabtu, 04 Sep 2021

Jurucakap utama Taliban, Zabihullah Mujahid mengatakan adalah masalah bagi kepemimpinan kumpulan itu untuk memutuskan sama ada wanita akan dimasukkan ke dalam kabinet baharu — Reuters

KERAJAAN baharu Afghanistan mungkin tidak akan diwakili oleh pemimpin wanita untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran, kata Taliban.

Jurucakap kumpulan itu Sher Abbas Stanekzai berkata pentadbiran baharu itu akan bersifat inklusif tetapi peranan untuk golongan wanita akan dihadkan dan hanya diletakkan di tahap yang lebih rendah.

Sher Abbas berkata Taliban dijangka mengatur pemerintahan baharunya dalam tempoh dua hari lagi.

Apabila Amerika Syarikat (AS) berundur sepenuhnya dari Afghanistan, Taliban memberi jaminan untuk menghormati hak-hak orang awam dan membenarkan wanita bekerja di bawah undang-undang syariah,

Bagaimanpun perkembangan terbaharu itu menunjukkan rejim itu tidak mengotakan janjinya.

Sebelum penjajahan AS pada 2001, Taliban menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang Islam dan melarang wanita ke sekolah atau bekerja.

Namun apabila kembali berkuasa, Taliban menyatakan mereka sudah berubah dan tidak akan membalas dendam terhadap orang awam.

Seorang lagi jurucakap utama Taliban, Zabihullah Mujahid berkata isu penglibatan wanita dalam Kabinet dijangka hangat dan tiada keputusan muktamad dicapai buat masa ini.

Namun katanya, beberapa pegawai telah dilantik untuk menguruskan institusi utama termasuk kementerian kesihatan dan pendidikan awam selain bank pusat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram