TALIBAN dijangka membuka semula operasi Lapangan Terbang Hamid Karzai di Kabul selepas kemudahan itu ditutup akibat kerosakan infrastruktur.
Lapangan terbang itu sebelum ini menjadi tumpuan dunia ekoran kes rakyat Afghanistan jatuh daripada kapal terbang ketika cuba melarikan diri dari pemerintahan Taliban.
Beberapa hari lepas, dunia sekali lagi dikejutkan dengan serangan militan Daesh di lapangan terbang sama, menyaksikan puluhan orang terkorban termasuk tentera Amerika Syarikat (AS).
Ekoran serangan itu, banyak kemudahan di lapangan terbang itu musnah dan Taliban menutup operasinya buat sementara.
Qatar menjadi negara pertama berhubung dengan Taliban untuk meminta agar lapangan terbang itu beroperasi semula.
Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani berkata pihaknya bekerjasama dengan Taliban bagi merealisasikan permintaan itu.
“Kami bekerja keras dan berharap dapat memulakan semula operasinya secepat mungkin.
“Mudah-mudahnya dalam beberapa selepas ini kami akan dengar berita gembira," katanya.
Pasukan teknikal Qatar sudah pun terbang ke Kabul untuk berbincang bagi pembukaan semula lapangan terbang itu.
Sumber memberitahu, misi utama untuk membuka semula lapangan terbang itu adalah bagi meneruskan bantuan kemanusiaan dan beri kebebasan termasuk untuk melaksanakan usaha pemindahan.
Lebih 123,000 warga asing dan rakyat Afghanistan melarikan diri dan masih ramai yang terdesak untuk keluar daripada negara itu.
“Ia sangat penting... Taliban menunjukkan komitmen mereka untuk menyediakan laluan selamat dan kebebasan bergerak buat rakyat Afghanistan.
“Qatar akan bekerjasama dengan Taliban dan juga Turki, jika mereka boleh menyediakan bantuan teknikal,” kata Sheikh Mohammed. – Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram