SEORANG pemilik apartmen di Auburn, Amerika Syarikat, Maine terkejut besar apabila menemui 19 ekor labah-labah jenis tarantula dan seekor ular sawa yang ditinggalkan oleh penyewanya sebelum ini.
Pemilik apartmen berkenaan kemudian bertindak menghubungi seorang penyelamat haiwan terkenal, Drew Desjardins untuk memindahkan kesemua haiwan tersebut.
Kesemua haiwan itu ditemui oleh pemilik apartmen tersebut ketika dia melakukan pemeriksaan pada Rabu.
Menurut laporan, Desjardins berkata, sebanyak empat daripada 19 tarantula yang ditinggalkan sudah mati manakala seekor ular sawa jenis ball itu dibiarkan hidup tanpa bekalan air minuman.
Desjardins menyatakan dia kemudian membawa semua haiwan tersebut yang masih hidup ke rumahnya.
Kesemua tarantula dan ular sawa ball itu dipercayai dibela secara haram untuk dijadikan haiwan peliharaan.
Menurut Desjardins, kesemua haiwan itu akan ditempatkan semula di sebuah lokasi lain.
Nama tuan punya apartmen itu tidak didedahkan dan setakat ini tidak diketahui apa bentuk tindakan yang akan diambil olehnya ke atas bekas penyewanya itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram