KEKALAHAN Donald Trump pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) tahun lalu kepada calon Demokrat, Joe Biden dilihat sedikit pun tidak melemahkan semangatnya untuk terus bertanding lagi merebut portfolio tersebut.
Baru-baru ini, ada laporan menyebut Trump akan bertanding pada pilihan raya Presiden 2024.
Menurut laporan media AS, terdapat pelbagai sebab Trump berkemungkinan mahu mengumumkan pencalonannya secara rasmi lebih awal.
Trump sebelum ini pernah menyatakan beliau adalah calon terbaik untuk memenangi pilihan raya akan datang kerana mendakwa tidak pernah kalah pada tahun lalu.
Pencalonan Trump juga memberi petanda kepada pesaing-pesaingnya dalam parti Republikan bahawa beliau masih seorang 'raja' dan 'kingmaker'.
Ketika ini, calon yang berpotensi dalam Republikan agak canggung untuk bersekutu dengan Trump dan tiada sesiapa mahu bersaing dengan beliau melainkan mereka memiliki lebih banyak sokongan berbanding Trump.
Seperti semua sedia maklum, Trump masih mempunyai ribuan para penyokong yang berdiri di belakangnya sehingga ke hari ini.
Selain itu, mengumumkan pencalonannya akan membolehkan Trump menuntut figura terkemuka lain untuk menyokong dan memberi dana pilihan raya kepada beliau.
Trump turut boleh menggunakan media sekali lagi sebagai medium untuk beliau mengeluarkan kenyataan yang 'berbaloi' dilaporkan.
Sejak beliau 'kehilangan' semua platform media sosialnya, Trump cuba menjadi 'attention seeker' di mata rakyat AS.
Sekiranya beliau menjadi calon rasmi, agak sukar untuk media mengenepikan apa jua yang diperkatakan oleh Trump.
Ada juga pandangan mengatakan Trump seronok bertanding untuk jawatan Presiden kerana beliau sukakan kuasa dan satu kebanggaan memegang portfolio terpenting dunia itu.
Tetapi apa yang dimahukan oleh Trump adalah berdiri di hadapan ribuan penyokongnya dan menerima tepukan gemuruh.
Ini jelas dibuktikan ketika beliau memenangi pilihan raya pada 2016. Trump 'sanggup' mengadakan jelajah untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokongnya ketika itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram