Mereka mahu AS terus jajah Afghanistan, kata Taliban


  • Benua
  • Selasa, 31 Ogos 2021

AFGHANISTAN berdepan cabaran untuk membentuk pemerintahan baharu selepas AS berundur sepenuhnya. — Agensi

TALIBAN mendakwa rakyat Afghanistan bergembira kerana mereka akhirnya dapat menikmati kedamaian selepas Amerika Syarikat (AS) berundur sepenuhnya pada Isnin.

Jurucakap Taliban, Tariq Ghazniwal dalam satu hantaran di media sosial Twitter, berkongsikan video ucapan pemimpin Taliban, Hanas Haqqani di Lapangan Terbang Hamid Karzai di Kabil.

Dalam video itu, Hanas berkata rakyat negara itu gembira peralihan kuasa pemerintahan di bawah Taliban.

Dia juga mengakui Taliban akan berdepan beberapa cabaran untuk melakukan perubahan di Afghanistan selepas 20 tahun dijajah AS.

Antaranya kata Hanas, ada pihak menyamar menjadi tentera Taliban dan merompak kediaman orang, sekali gus memberi imej buruk mereka.

"Mereka (penyamar) ini telah ditahan dan dipenjarakan.

" Sememangnya ada masalah kecil tetapi ini adalah cabaran kerana negara ini mengalami perubahan pemerintahan," katanya.

Hanas berkata masih wujud golongan yang tidak menginginkan kedamaian di Afghanistan di bawah Taliban kerana mereka mahu penjajahan AS diteruskan di negara ini.

" Taliban telah berjaya membawa kedamaian. Orang ramai semua gembira.

"Saya bercakap dengan doktor yang memaklumkan bahawa hospital dahulu penuh dengan yang cedera dan mati tetapi kini ia tidak lagi berlaku," ujarnya.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Taliban, Afghanistan, AS