Gaza hargai Malaysia, namakan jalan sebagai Malaysia Street


  • Benua
  • Selasa, 31 Ogos 2021

PAPAN tanda Malaysia Street dilpasang pada sebatang jalan yang terletak berdepan dengan Bulatan Ansar, barat kota Gaza.

SEMPENA hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-64, Majlis Perbandaran Gaza mengabadikan nama Malaysia sebagai nama untuk sebatang jalan yang terletak berdepan dengan Bulatan Ansar, barat kota Gaza.

Penghargaan nama jalan yang dikenali sebagai "Malaysia Street" itu juga diberikan pihak Palestin sebagai menghargai sumbangan Malaysia terhadap perjuangan rakyat negara itu.

Menurut Pengerusi Persatuan Kebudayaan Palestin-Malaysia (PCOM), Muslim Imran, Malaysia sentiasa peka dengan keadaan Palestin dan mempunyai peranan utama dalam menyokong perjuangan mereka.

"Sejak awal, negara tidak pernah jemu melaksanakan pelbagai usaha perdamaian, desakan di peringkat antarabangsa, misi kemanusiaan dan solidariti.

"Hal ini diakui oleh pihak Palestin yang kini menzahirkan penghargaan dengan menamakan sebatang jalan berhampiran kota Gaza yang diluluskan sendiri oleh Majlis Perbandaran di sana," katanya.

Muslim turut memuat naik gambar pemasangan papan tanda berkenaan yang ditulis dalam bahasa Arab dan Inggeris.

Gambar berkenaan menunjukkan tiga lelaki sedang giat melakukan kerja pembinaan, papan tanda berwarna itu antara lain tertera penjelasan di sebalik keputusan nama jalan terbabit.

Berdasarkan terjemahan bahasa Arab pada papan tanda itu, Malaysia mempunyai peranan penting dalam membantu perjuangan rakyat Palestin, dengan berterusan mendesak supaya menghentikan penjajahan Israel dan memperuntukkan semua hak sewajarnya kepada rakyat Palestin.

Penamaan nama Malaysia pada sebatang jalan menjadi sejarah tersendiri memandangkan ini merupakan kali pertama nama negara diabadikan di tempat atau lokasi utama di Palestin.

Malaysia sebagai negara yang bebas daripada belenggu penjajah British pada 31 Ogos 1957 juga menolak sebarang bentuk normalisasi menerusi tindakan penjajahan yang didalangi Israel. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Palestin, Malaysia, Malaysia Street, Gaza