PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan rakan sejawatannya dari Israel, Naftali Bennett mengadakan pertemuan di Washington bagi membincangkan pelbagai isu khususnya ancaman nuklear Iran.
Israel sebelum ini menegaskan akan membantah sebarang kemungkinan perbincangan perjanjian nuklear baharu antara Iran dan AS serta lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) atau dikenali sebagai P5+1 iaitu China, Perancis, Jerman, Rusia serta Britain.
Menurut Bennett, sebarang perjanjian yang dibuat haruslah mampu menghentikan provokasi Iran di rantau Asia Barat.
Awal minggu ini, Bennett memaklumkan kepada Biden bahawa ini adalah masa yang sesuai untuk menghentikan aktiviti nuklear Iran serta tidak memperbaharui sebarang perjanjian nuklear dengan Tehran.
Ini merupakan lawatan rasmi Bennett yang pertama sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 13 Jun lalu menggantikan Benjamin Netanyahu.
Bennett turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan AS, Lloyd Austin dan Menteri Luar Negeri AS, Antony Blinken.
Dalam perkembangan berlainan, ketegangan antara Israel dan pejuang Hamas di Gaza meningkat dalam tempoh tiga bulan terakhir.
Sewaktu perang 11 hari antara Israel dan Hamas pada Mei lalu, kira-kira 265 orang terkorban di Gaza.
Minggu lalu, pejuang Hamas kembali melancarkan belon api ke kawasan selatan Israel dan mengadakan tunjuk perasaan menentang kekejaman rejim Zionis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram