KERAJAAN Rusia telah membentuk kumpulan empat pesawat bagi memindahkan lebih daripada 500 warganegara Afghanistan serta bekas negara Soviet seperti Belarus, Ukraine, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan.
Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan hari ini berkata, Menteri Pertahanan Sergey Shoygu mengeluarkan arahan itu menerusi Presiden Vladimir Putin.
Empat pesawat pengangkutan ketenteraan yang dikerahkan di lapangan terbang di bandar Ulyanovsk dekat barat Rusia dilengkapi dengan air minuman, selimut, dan makanan yang mencukupi bagi memastikan penerbangan yang selesa kepada para pengungsi (refugee).
“Pasukan perubatan serta jururawat dan doktor tentera yang dilengkapi dengan peralatan perubatan dan ubat-ubatan akan memberi bantuan dan sokongan perubatan kepada warga Rusia dan negara-negara lain yang dipindahkan ketika penerbangan,” katanya.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov pula berkata, keselamatan orang Rusia di Afghanistan tetap menjadi keutamaan kepada pihak berkuasa dan berjanji akan melakukan apa sahaja bagi memastikan ia terlaksana.
Ketika ditanya mengenai pengasingan warga Afghanistan, Peskov berkata, Moscow sedang memeriksa permintaan yang relevan daripada mereka.
Secara umum, katanya, Rusia tetap prihatin dengan keadaan di Afghanistan, yang mana kurang dari seminggu sebelum pemindahan dari negara itu seharusnya berakhir.
“Kami telah mendapat maklumat bahawa Taliban menetapkan 31 Ogos sebagai tarikh akhir perpindahan.
“Kami tahu bahawa topik ini telah dibincangkan pada sidang kemuncak kecemasan luar biasa G7.Keadaan sedang berkembang. Masa semakin suntuk dan keadaannya tetap tegang,” katanya.
Taliban telah menetapkan 31 Ogos sebagai ‘garis merah’ sebagai tarikh pemindahan terakhir, manakala Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata, pihaknya menyasarkan tarikh itu namun mungkin akan melanjutkan misi berkenaan sekiranya perlu.
Taliban yang mengambil alih kerajaan Afghanistan pada 15 Ogos lalu menyebabkan ribuan rakyatnya terpaksa meninggalkan negara menerusi kapal terbang Kabul. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram