Wanita Uighur dedah adik dipenjara hanya kerana simpan buku agama


  • Benua
  • Jumaat, 03 Sep 2021

KALBINUR berkata, adiknya Renagul dijatuhi hukuman penjara selama 17 tahun selepas menghadiri upacara keagamaan selepas kematian ayah mereka. — Agensi

KISAH penindasan etnik Uighur di China seolah-olah sudah dilupakan walaupun isu itu pernah menggemparkan dunia beberapa tahun lepas.

Beijing didakwa melaksanakan program konsentrasi untuk mendoktrin etnik Islam Uighur agar patuh dan setia kepada corak pemerintahan komunis di negara itu.

Tetapi malangnya, pendedahan mangsa-mangsa yang pernah ditindas tidak mendapat pembelaan sepatutnya kerana China cekap menyembunyikan perkara sebenar.

Terbaharu, wanita etnik Uighur, Kalbinur Gheni mendedahkan ahli keluarganya pernah diganggu pihak berkuasa China ketika adiknya, Renagul Gheni dihukum penjara di Xinjiang.

Perkara itu didedahkannya ketika bertemu dengan bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo pada Disember lalu.

Katanya, keluarga mereka dipaksa supaya berhenti bercakap mengenai adiknya itu, sementara saudara-mara mereka sering disoal siasat polis yang datang ke rumah mereka.

Renagul dijatuhi hukuman penjara selama 17 tahun kerana menghadiri upacara keagamaan setelah kematian ayah mereka, selain kesalahan menyimpan buku-buku agama dan meminjamkannya kepada orang lain.

Renagul, 39, yang juga seorang guru dan ibu kepada dua anak dibawa ke kem tahanan pada 2018 dan dipindahkan ke penjara pada Mei tahun ini.

Kira-kira 1.8 juta etnik Uighur dan kaum minoriti Muslim yang lain telah ditahan di kem tahanan di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR), yang mana mereka telah mengalami penyeksaan mental dan fizikal.

Sementara itu, pihak berkuasa bukan sahaja memberi tekanan kepada Kalbinur menerusi ahli keluarganya, malah turut mengugutnya untuk berhenti membela adiknya.

Kalbinur berkata, China berusaha mengawal keluarga Uighur meskipun mereka menetap di luar negara selain menjadikan keluarga mereka sebagai tebusan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Uighur, China, kem tahanan