SELEPAS lebih setahun dikenakan perintah berkurung akibat Covid-19, Australia akhirnya harus akur bahawa rakyatnya perlu dibebaskan dan terpaksa hidup bersama Covid-19.
Perdana Menteri, Scott Morrison berkata, Australia kini harus belajar untuk hidup dengan virus berkenaan.
Ketika ini, negara itu sedang berusaha menangani gelombang ketiga jangkitan yang telah mengakibatkan sekatan pergerakan dikuatkuasakan ke atas 25 juta penduduknya.
Penduduk Sydney, Melbourne dan Canberra diarahkan untuk tinggal di rumah selama beberapa minggu.
Walaupun berlaku lonjakan baru-baru ini, negara itu berjaya mempertahankan jumlah kes Covid-19 dalam kadar rendah, dengan hanya 55,000 kes dan 1,012 kematian.
Di antara kumpulan 20 ekonomi besar, Australia adalah negara yang terakhir mencatatkan 1,000 kematian Covid-19, satu kadar yang dianggap sederhana mengikut standard global yang dicapai minggu ini.
Beberapa ekonomi utama Asia Pasifik mempunyai kematian Covid-19 yang lebih sedikit seperti New Zealand dengan hanya 26 kematian.
Walaupun pihak berkuasa Australia berjaya mengatasi wabak melalui sekatan pergerakan, namun varian Delta memaksa negara itu merancang semula pembukaan ekonomi ketika jangkitan meningkat.
Naib Presiden Persatuan Perubatan Australia, Chris Moy berkata, kadar jangkitan varian Delta tinggi, tempoh inkubasi pendek dan penyebaran kes tiada gejala bermaksud tindakan sekatan tidak lagi berfungsi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram