Keunikan ladang solar Singapura seluas 45 padang bola sepak


  • Benua
  • Jumaat, 27 Ogos 2021

LADANG solar terapung terbesar di dunia terletak di Tengeh Reservoir, Singapura. — AFP

LUASNYA ladang solar terapung terbesar di dunia di Tengeh Reservoir, Singapura bersamaan keluasan 45 buah padang bola sepak, memiliki keupayaan menjana sehingga enam juta kilowatt per jam tenaga.

Dengan keupayaan tersebut, Ladang Solar Terapung Sembcorp Tengeh Singapura yang dibuka secara rasmi pada Julai lalu memiliki kemampuan untuk menampung bekalan tenaga untuk 16,000 flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Selain itu, ladang solar itu yang menempatkan 122,000 panel suria itu juga mampu mengurangkan pelepasan karbon sekitar 32 kiloton setiap tahun, atau bersamaan dengan pengurangan 7,000 kereta di jalan raya.

Ia dibangunkan oleh Sembcorp Industries setelah dilantik oleh Agensi Air Kebangsaan Singapura PUB pada 10 Februari tahun lalu sebelum pembinaan bermula pada Ogos tahun yang sama.

"Melalui ladang solar terapung ini, satu lagi langkah ke hadapan PUB demi mencapai kelestarian tenaga dalam rawatan air. Sumber tenaga solar yang banyak, bersih dan hijau menjadi keutamaan PUB dan Singapura untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida," kata Ketua Eksekutif PUB, Ng Joo Hee dalam satu kenyataan.

Ladang solar yang menggunakan sistem fotovolta (PV) itu mampu menggerakkan lima loji rawatan air tempatan, mengimbangi keperluan tenaga tahunan PUB sekitar 7.0 peratus serta mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sembcorp Industries, Wong Kim Yin, menyifatkan projek itu sebagai "permata dalam portfolio" syarikatnya.

"Sebagai perintis kepada sistem tenaga boleh baharu tempatan, Sembcorp mempunyai lebih 3,300 megawatt aset tenaga boleh baharu di seluruh dunia.

"Kami komited dan mempunyai rekod prestasi dan kompetensi, untuk menyokong Rancangan Hijau Singapura," jelas beliau. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ladang solar, terapung, singapura