PEMBUAT aiskrim popular Amerika Syarikat (AS) Ben & Jerry’s akan menghentikan penjualan di wilayah Palestin yang diduduki pendatang haram Yahudi.
Syarikat itu yakin penjualan aiskrim di wilayah yang diduduki rakyat Israel itu tidak berbaloi.
“Kami juga mendengar dan menyedari kebimbangan yang dikongsi oleh peminat dan rakan kongsi kami,” kata syarikat itu yang berpangkalan di Vermont.
Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dianggap wilayah yang diduduki di bawah undang-undang antarabangsa dan semua kegiatan penempatan orang Yahudi di sana adalah haram.
Langkah Ben & Jerry’s disambut baik oleh rakyat Palestin.
Ahli Politik Palestin dan anggota Knesset Israel, Aida Touma-Suleiman berkata, keputusan itu adalah adil dan bermoral kerana wilayah Palestin yang diduduki bukan sebahagian daripada Israel.
“Tindakan menghentikan penjualan di wilayah itu akan membantu memberi tekanan untuk menghentikan penjajahan.
“Saya berharap syarikat itu bukan yang terakhir mengambil langkah itu,” katanya menurut laporan Anadolu Agency.
Pada masa sama, Gerakan Boycott, Divestment & Sanctions (BDS) yang telah lama berusaha mengakhiri sokongan antarabangsa untuk Israel, memuji keputusan itu sebagai langkah yang menentukan untuk mengakhiri pembabitan syarikat dalam pendudukan Israel dan pelanggaran hak-hak Palestin.
“Kami menyambut baik keputusan mereka malah turut menyeru syarikat itu menghentikan semua operasi di wilayah diduduki Israel,” kata gerakan itu.
Sementara itu, pemimpin tertinggi Yahudi, Naftali Bennett memandang serius keputusan Ben & Jerry’s selain menyifatkannya sebagai anti-Israel.
Bennett memberi amaran bahawa, syarikat itu akan menerima hukuman akibat tindakan boikot itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram