SERAMAI 854 kanak-kanak dan 107 wanita ditahan di penjara Israel sejak awal tahun ini, berdasarkan laporan Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin.
Angka itu sekali gus menjadikan seramai 5,426 rakyat Palestin ditahan pada separuh pertama tahun 2021.
Jumlah itu meningkat dua kali ganda daripada kes yang didaftarkan pada separuh pertama tahun lalu, lapor portal Daily Sabah.
Laporan itu juga ditulis dengan kerjasama Persatuan Tahanan Palestin (PPS), Persatuan Tahanan dan Hak Asasi Manusia Tahanan Penjara Addameer, dan Pusat Maklumat Hilweh.
Dalam laporan sama, bulan Mei menyaksikan jumlah tahanan tertinggi dengan 3,100 rakyat Palestin ditahan rejim pengganas Israel.
Angka tahanan rakyat Palestin yang paling ramai adalah di Baitulmaqdis, dengan 1,699 orang.
Mei lalu, rakyat Palestin melakukan tunjuk perasaan besar-besaran berikutan membantah usaha rejim pengganas Israel mengusir rakyat Palestin dari penempatan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur dan beberapa kawasan lain.
Laporan itu turut menyebut, kebanyakan rakyat Palestin yang ditahan di Baitulmaqdis dan wilayah yang diduduki telah dibebaskan namun angka sebenar masih belum dikenal pasti.
Selain itu, kira-kira 4,850 rakyat Palestin masih ditahan di penjara Israel setakat 30 Jun termasuk 41 wanita dan 225 kanak-kanak.
540 orang daripada jumlah itu ditahan di bawah tahanan pentadbiran Israel, yang membenarkan penahanan rakyat Palestin tanpa tuduhan atau perbicaraan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram