MEXICO menyambut baik kedatangan seramai 124 wartawan warga Afghanistan ke negara itu susulan konflik yang dicetuskan Taliban.
Ketibaan para wartawan itu disambut oleh Menteri Luar Negeri Marcelo Ebrard dan delegasi di lapangan terbang termasuk media tempatan yang membuat liputan mengenai acara tersebut.
Dalam hantaran di Twitter, Ebrard berkata, kehidupan seseorang manusia membawa nilai besar dan negaranya memilih untuk menyokong permintaan wartawan pencari suaka.
Katanya, kehadiran wartawan melambangkan kebebasan media dan hak berkomunikasi.
Mexico dilaporkan akan menjadi tuan rumah kepada wartawan-wartawan terbabit termasuk ahli keluarga mereka.
Rabu lalu, Mexico mengumumkan negara itu akan menyambut lima wanita Afghanistan yang diberi penghargaan antarabangsa atas usaha mereka dalam bidang robotik.
Dalam perkembangan lain, Kementerian Pertahanan Turki mengumumkan pihaknya selesai melakukan pemindahan tenteranya dari Afghanistan, setelah 20 tahun berkhidmat di sana.
Kementerian itu berkata, pemindahan yang bermula Rabu lalu diputuskan setelah menilai situasi semasa di Afghanistan.
Menerusi satu kenyataan, kementerian itu juga berkata, anggota tentera Turki berasa bangga apabila dapat pulang ke tanah air setelah melaksanakan misi mereka.
Terdahulu, Taliban yang mengambil alih kerajaan Afghanistan pada 15 Ogos lalu mencetuskan panik di kalangan penduduknya, dengan ramai yang tidak pasti nasib mereka selepas ini sebagai alasan mereka melarikan diri. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram