Korea Utara cari pengganti Kim Jong-un


  • Benua
  • Ahad, 29 Ogos 2021

BERAT badan Jong-un dikatakan susut sebanyak 18 kilogram akibat masalah kesihatan. — AP

KOREA Utara dilaporkan giat mencari pengganti pemimpinnya, Kim Jong-un yang dikatakan mengalami masalah kesihatan.

Berdasarkan laporan portal The Sun, pegawai kanan Parti Buruh, Jo Yong-won yang dilantik sebagai timbalan ketua baru-baru ini, diarahkan untuk mencari pengganti kepada Jong-un.

Menurut seorang pakar Korea Utara, Michael Madden, Yong-won yang dikatakan sebagai 'kingmaker' akan melatih serta membimbing bakal pengganti tersebut.

Tambah Madden, beliau berpendapat keputusan untuk mencari pengganti Jong-un dilakukan dengan pandangan bahawa pemimpin itu mungkin akan mati dalam tempoh terdekat.

Madden berkata, langkah serupa turut dilakukan ketika bapa kepada Jong-un iaitu Kim Jong-il nazak pada 2007.

"Isu kesihatannya menjadi agak tidak menentu dan beliau mula bersiap sedia untuk peralihan kuasa.

"ada dasarnya, beliau memilih lima atau enam orang yang memiliki kesetiaan dan cita-cita yang tidak perlu dipersoalkan untuk menjadi penjaga," jelasnya.

Ujar Madden lagi, mereka yang dipilih adalah individu yang menguruskan portfolio dasar yang besar dan sensitif.

"Mereka bertanggungjawab dalam urusan peralihan kuasa daripada Jong-il ke Jong-un dengan efektif. Mereka juga mengiringi Jong-un di awal pemerintahannya," katanya.

Desas-desus mengenai tahap kesihatan Jong-un yang semakin buruk tercetus selepas pelbagai bukti ditunjukkan oleh beliau.

Jong-un kelihatan lebih kurus dan dikatakan telah hilang berat badannya sebanyak 18 kilogram sejak Julai lalu.

"Apa yang kita lihat berkemungkinan besar beliau memilih untuk menurunkan berat badannya sendiri seperti dilakukan oleh mereka yang mengalami obesiti di seluruh dunia. Ia lebih baik untuk sistem kardiovaskular mereka," jelas Madden.

Madden juga berpandangan pelantikan Yong-won sebagai timbalan, tidak lebih daripada mahu menjadikan beliau sebagai kambing hitam yang boleh dipersalahkan jika Korea Utara gagal menangani isu krisis makanannya atau perbalahan dalam parti. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram