Ancaman pengganas Daesh selubungi Afghanistan


  • Benua
  • Khamis, 26 Ogos 2021

AS dan sekutu meminta orang ramai menjauhi Lapangan Terbang Kabul. — AFP

AMERIKA Syarikat (AS) dan sekutunya menggesa orang ramai supaya tidak mendekati Lapangan Terbang Kabul ekoran ancaman kumpulan pengganas, Daesh.

Ketika ini, pasukan keselamatan Barat bertungkus lumus memindahkan seberapa ramai yang mungkin rakyat Afghanistan sebelum tarikh akhir 31 Ogos ini.

Tekanan kini menyelubungi usaha pemindahan ribuan rakyat asing dan warga Afghanistan ketika tentera AS serta sekutunya dijangka meninggalkan lapangan terbang itu minggu depan.

Namun ketika usaha pemindahan sedang dilakukan, kedutaan Amerika Syarikat di Kabul menasihatkan kepada penduduk agar menjauhkan diri daripada lokasi lapangan terbang.

Kedutaan juga menasihatkan agar mana-mana individu yang sudah pun berada di pagar lapangan terbang supaya segera beredar, atas alasan keselamatan.

Peringatan sama turut dibuat Britain yang mahu orang ramai segera berpindah ke tempat lebih selamat.

“Terdapat ancam serangan pengganas,” kata Pejabat Luar Britain dalam satu kenyataan.

Menteri Angkatan Tentera Britain, James Heappey berkata ancaman pelampau terhadap lapangan terbang itu dianggap sebagai sangat serius dan mungkin akan berlaku.

“Laporan sejak beberapa minggu ini boleh dipercayai. Ancaman itu boleh berlaku dan mengancam nyawa,” kata Heappey kepada Times Radio.

“Ia adalah satu ancaman yang serius dan makin hampir.”

Australia juga menggesa rakyatnya dan pemegang visa supaya segera meninggalkan lokasi berkenaan susulan ancaman itu.

Ancaman pengganas itu hadir selepas situasi kacau bilau ibu negara Afghanistan selepas berlakunya pemindahan warga asing dan penduduk tempatan di lapangan terbang berkenaan ekoran penguasaan Taliban di Kabul 15 Ogos lalu. – Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Amerika Syarikat, Kabul, Daesh, Afghanistan