20 wanita dibunuh setiap hari atas sebab tidak masuk akal


  • Benua
  • Ahad, 29 Ogos 2021

PEMAKAIAN seluar jeans dalam kalangan wanita di India mencetuskan isu diskriminasi. — Agensi

ISU remaja perempuan dan wanita yang dipukul oleh ahli keluarga sendiri di India menjadi topik hangat diperdebatkan di negara berkenaan baru-baru ini.

Salah satu kes yang menerima perhatian ramai adalah seorang gadis berusia 17 tahun, Neha Paswan, dipukul hingga mati oleh sanak saudaranya gara-gara memakai seluar jeans pada bulan lepas.

Pada Jun lalu, seorang wanita dipukul oleh bapa dan tiga saudara lelakinya kerana melarikan diri daripada rumah suaminya.

Seminggu sebelum kejadian itu, dua remaja perempuan turut dipukul tanpa belas kasihan oleh ahli keluarga mereka kerana berbual dengan saudara lelaki menerusi telefon.

Beberapa kejadian ini membuktikan gadis dan wanita di negara itu terdedah kepada keganasan domestik.

Menurut jurukempen, keganasan domestik terhadap wanita dan gadis didorong oleh budaya masyarakat India yang mengangkat kaum lelaki.

Disebabkan hanya mementingkan anak lelaki, anak perempuan berdepan risiko untuk digugurkan ketika dalam kandungan ibunya serta terdedah kepada diskriminasi dan diabaikan.

Keganasan domestik dilihat berleluasa di negara itu dan secara puratanya seramai 20 wanita dibunuh setiap hari kerana tidak membawa mahar yang mencukupi.

Wanita dan gadis di bandar kecil dan luar bandar India terpaksa hidup di bawah peraturan yang sangat ketat.

Ketua kampung atau ketua keluarga sering menentukan cara pemakaian mereka, ke mana mereka pergi atau dengan siapa mereka bercakap. Jika wanita atau gadis didapati melakukan kesalahan, ia dianggap provokasi dan perlu dihukum.

Ujar seorang aktivis, Rolly Shivhare, agak mengejutkan pada abad ke-21, gadis dibunuh dan dipukul kerana memakai seluar jeans atau bercakap di telefon pintar.

"Kerajaan mengatakan gadis adalah keutamaan kami dan mengumumkan skim yang besar untuk kebajikan mereka, tetapi tiada apa yang dilaksanakan," kata Shivhare. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

wanita, India, jeans