Wanita Palestin sarat mengandung di penjara Israel minta bantuan dunia


  • Benua
  • Sabtu, 28 Ogos 2021

ANHAR Al-Deek gesa bantuan antarabangsa supaya dia dapat melahirkan bayi di luar penjara. — Agensi

WANITA Palestin, Anhar Al-Deek yang sarat hamil sembilan bulan menggesa campur tangan antarabangsa bagi membebaskannya dari penjara Israel supaya beliau dapat melahirkan bayinya di kediamannya.

Anhar, 25, yang berasal dari bandar Kafr Ni’ma dekat barat Ramallah telah mengirim sepucuk surat kepada keluarganya yang meminta mereka meminta bantuan kepada masyarakat antarabangsa.

“Apa yang harus saya lakukan jika saya melahirkan bayi jauh dari anda? Saya terkurung dan bagaimana saya boleh melahirkan melalui pembedahan ketika saya bersendirian di penjara?

“Saya keletihan dan saya mengalami kesakitan selain sakit di kaki disebabkan tidur di penjara. Saya tidak tahu bagaimana saya mahu tidur selepas saya bersalin kelak,” tulisnya.

Tambahnya lagi, dia juga buntu untuk melalui proses berpantang kerana warden penjara memegang tangannya dengan jijik.

“Pihak penjara mahu mengasingkan saya dan anak saya, “ katanya.

Anhar menjalani hukuman penjara selama lima bulan atas tuduhan kononnya cuba melakukan serangan di penempatan haram, namun masih belum ada keputusan dikeluarkan ke atasnya.

Pihak penjara hanya membenarkan suaminya mengunjunginya sebanyak sekali sejak ditangkap.

Ibu Anhar, Aisha Al-Deek berkata, anak perempuannya hidup dalam keadaan tertekan dan sering ketakutan.

Katanya, Anhar menderita penyakit kemurungan dan dikhuatiri bayinya bakal dilahirkan dalam keadaan yang kotor.

“Kami telah menghubungi semua hak asasi manusia dan badan rasmi serta kedutaan. Kami tidak menginginkan apa-apa selain membenarkan Anhar melahirkan bayinya di luar penjara,” kata Aisha. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram