Kesatuan polis Chicago tolak vaksin


  • Benua
  • Khamis, 26 Ogos 2021

LIGHFOOT meminta semua staf kerajaan untuk mendapatkan suntikan vaksin berkuat kuasa 15 Oktober ini. — AP

KESATUAN polis Chicago menentang mandat Datuk Bandar, Lori Lightfoot yang mewajibkan semua pegawai bandar untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Presiden Chicago Fraternal Order of Police, John Catanzara berkata, ahlinya menolak seratus peratus mandat tersebut.

"Vaksin ini tidak mempunyai kajian mengenai kesan atau akibat sampingan jangka panjang. Tidak ada sama sekali.

"Memberi mandat kepada setiap orang untuk mendapatkan vaksin tanpa data tepat adalah juga satu perkara yang tidak patut. Jadi kami menolak mandat ini." katanya.

Dia juga menegaskan semua kesatuan polis di kota itu menentang mandat tersebut.

"Bukan hanya kami, tapi sarjan, leftenan, dan kapten juga. Mereka semua menolak untuk menerima vaksin. Ini bukan lagi kenyataan yang diputarbelitkan," katanya.

Rabu lalu, Lightfoot mengumumkan bahawa semua staf pentadbiran kerajaan diminta untuk mendapat vaksin sepenuhnya sebagai usaha mengekang penularan Covid-19 di bandar itu berkuatkuasa 15 Oktober ini dan memberitahu akan mengeluarkan mandat pada awal minggu ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram