Serangan asid di stesen kereta api ketika Paralimpik Tokyo 2020, polis masih buru suspek


  • Benua
  • Rabu, 25 Ogos 2021

POLIS sedang melakukan operasi secara menyeluruh untuk menahan individu terlibat dalam serangan asid di stesen Shirokane Takanawa malam semalam. — Agensi

PIHAK polis di Tokyo, Jepun masih menjejaki indidvidu yang melakukan serangan asid di stesen kereta api bawah tanah pada malam semalam.

Berdasarkan laporan pihak media juga, dalam kejadian yang berlaku itu, seorang peniaga dan wanita orang awam merupakan dua mangsa yang dilaporkan cedera.

Kejadian itu juga berlaku pada masa sama upacara pembukaan Paralimpik diadakan.

Menurut jurucakap polis, salah seorang mangsa, merupakan seorang peniaga berusia 22 tahun yang mengalami cedera parah dengan luka terbakar di mukanya setelah suspek menyemburkan cecair yang merupakan asid sulfurik ke arahnya di eskalator.

Seorang lagi mangsa merupakan wanita berusia 34 tahun dilaporkan mengalami luka bakar kecil di kakinya.

Suspek masih lagi bebas dan pihak polis sedang melakukan operasi secara menyeluruh untuk menahan individu yang dipercayai berusia dalam lingkungan pertengahan usia 50an itu.

Jelas pihak polis lagi, perbuatan itu merupakan satu kesalahan yang berat dan Jepun mempunyai undang-undang yang ketat berhubung penggunaan senjata walaupun ia melibatkan cecair seperti asid.

Menurut media di Jepun, kira-kira 60,000 pegawai polis dikerahkan untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo.

Terdahulu, semasa Sukan Olimpik pada awal Ogos lepas, seramai 10 orang dilaporkan cedera termasuk seorang parah dalam satu serangan tikaman dalam kereta api komuter di Tokyo.

Suspek yang awalnya melarikan diri telah berjaya ditangkap selepas menyerahkan diri. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

paralimpik, tokyo, asid, polis