SEORANG wanita berkongsi kisah lucu mengenai rakannya yang membeli sandwich ketika menaiki pesawat Ryanair baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Twitter, wanita berkenaan iaitu Liz Nugent menceritakan rakannya, Aimee Woods telah memesan sandwich daging tapi malangnya saiz daging yang diberikan adalah kecil dan tidak seperti dijangkakan.
Malah, sandwich itu juga tidak diletakkan sebarang bahan lain kecuali dua potong kecil daging di dalamnya. Saiz daging yang diberikan juga tidak menutupi keseluruhan permukaan roti tersebut.
Segelintir pengguna Internet bertanya sama ada Woods memulangkan semula sandwich tersebut dan meminta wang semula atau mengemukakan aduan.
Jawab Woods, dia tidak melakukan sebarang tindakan kerana hanya mahu mengisi perutnya yang kosong ketika itu.
Ujar Woods lagi, meskipun berdepan situasi melucukan itu, dia mengatakan penerbangan tersebut menyeronokkan dan layanan pramugari yang baik.
Dalam pada itu, ada juga pengguna Internet yang berkongsi pengalaman sama ketika menaiki Ryanair.
Setakat ini, tiada komen daripada Ryanair berkenaan isu sandwich tersebut.
Malahan, Woods juga enggan memberikan sebarang komen lanjut berkenaan isu terbabit. — AGENSI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram